Selasa, 4 Ogos 2020

TIDAK SELAYAKNYA ALLAH MEMPUNYAI ANAK


 💖 Firman Allah 

وَقَالَتِ الْيَهُودُ عُزَيْرٌ ابْنُ اللَّـهِ وَقَالَتِ النَّصَارَى الْمَسِيحُ ابْنُ اللَّـهِ﴿٣٠﴾ التوبة

Maksudnya
Dan orang-orang Yahudi berkata:  Uzair adalah anak Allah dan orang-orang Nasrani berkata: AlMasih adalah anak Allah.
Surah at Taubah ayat 30

Nama “AlMasih” dalam ayat di atas adalah merujuk kepada Nabi Isa ibn Maryam nabi terakhir bagi Bani Israil sebelum diutuskan Nabi Muhammad ﷺ

Adapun nama “Uzair” adalah satu nama yang jarang sekali kita dengar dan tidak ramai di antara kita yang mengetahui atau mengenali tentang dirinya.

SIAPAKAH DIA UZAIR?

Uzair (عُزَيْر) adalah seorang pemuda Bani Israil yang Allah matikannya selama seratus tahun. Baginda berasal dari keturunan al-Lawiyin.

Orang-orang Yahudi menyebutnya dengan nama Ezra akan tetapi penduduk Yahudi Madinah menyebutnya dengan nama Uzair.

Beliau hidup sekitar tahun 451 SM iaitu semasa pemerintahan Raja Cyrus, Raja kerajaan Parsi yang berjaya membebaskan Bani Israil dari cengkaman kerajaan Babylon.

Ulamak telah berselisih pendapat dalam menentukan status sebenar Uzair, adakah ia seorang Nabi ataupun Orang Soleh?

Menurut pendapat yang masyhur mengatakan bahawa Uzair adalah seorang nabi yang diutus oleh Allah kepada Bani Israil.

Allah telah memberikannya ilham untuk menghafal dan mengajar Taurat kepada Bani Israil.

KISAH UZAIR DI DALAM ALQURAN

Kisah Uzair ada diceritakan di dalam alQuran iaitu dalam surah al Baqarah ayat 259

Setelah Bani Israil dibebaskan dari cengkaman Nebuchadnezzar ll, Raja Cyrus telah membenarkan Uzair pulang ke Aour Salem (Jerusalem).

Ketika dalam perjalanan, Uzair telah melalui satu perkampungan yang mana bangunannya telah hancur musnah sama sekali lalu Bagindapun bertanya

 💖 Firman Allah 

قَالَ أَنَّىٰ يُحْيِي هَـٰذِهِ اللَّـهُ بَعْدَ مَوْتِهَا ۖ ۖ ﴿٢٥٩﴾ البقرة

Maksudnya
Bagaimanakah Allah akan menghidupkan semua ini setelah ianya binasa?
Surah al Baqarah ayat 259

Untuk menjawab persoalan ini, maka Allah mematikan Uzairr selama seratus tahun kemudian Allah bangkitkannya semula lalu bertanya kepada Baginda.

 💖 Firman Allah 

قَالَ كَمْ لَبِثْتَ ۖ ﴿٢٥٩﴾ البقرة

Maksudnya
Berapa lama engkau tidur
Surah al Baqarah ayat 259

Baginda menjawab
Aku tidur satu hari ataupun separuh hari 

Maka Allah telah berfirman
 💖 Firman Allah 

قَالَ بَل لَّبِثْتَ مِائَةَ عَامٍ ﴿٢٥٩﴾ البقرة

Maksudnya
Bahkan Engkau tidur selama seratus tahun
Surah al Baqarah ayat 259

Maka Allah mengarahkan Uzair melihat kepada
  1. Makanan dan minum yang dia bawa sebelum ini, ianya masih elok dan tidak basi
  2. Keldai tunggangannya yang telah hancur binasa dan yang tersisa cumalah tulang-belulang. 
Lalu Allah cantumkan tulang-tulang keldai itu kemudian Allah balutkannya dengan daging  sehingga menjadi seekor keldai seperti mana asal.

KEMBALI KE KAMPUNG HALAMAN

Setelah yakin dengan kekuasaan Allah maka Uzair pun pulang ke kampung halamannya dengan menaiki keldainya.

Jarak masa yang terlalu panjang, kaumnya telah berubah kepada beberapa jenerasi hinggakan tiada seorangpun yang mengenalinya melainkan seorang perempuan buta berusia 120 tahun.

Atas bantuan perempuan tua inlah, akhirnya Bani Israil mula menerima dan mempercayai bahawa lelaki di hadapan mereka itu adalah Uzair.

Sememangnya Bani Israil tahu Uzair sewaktu kecil seorang yang gigih menghafal kitab Taurat.

Oleh yang demikian mereka telah meminta Uzair menghafal dan mengajarkan mereka Taurat yang telah sekian lama luput daripada pandangan dan hafalan mereka.

💙💚💖💜💛💜
Catatan

Semasa serangan tentera Babylon ke atas Aour Salem (Jerusalem), Raja Nebuchadnezzar ll telah bertindak membakar dan memusnahkan Kitab Taurat.

Sejak dari peristiwa ini, tiada lagi golongan yang menghafal dan mempelajari ajaran Taurat di kalangan Bani Israil.

💙💚💖💜💛💜

KEISTIMEWAAN UZAIR PADA PANDANGAN ORANG YAHUDI

💛💜 Pertama
💚
Doa doa Uzair mustajab dan sentiasa diperkenankan Allah.

Uzair pernah berdoa kepada Allah untuk perempuan tua berusia 120 tahun yang buta penglihatan.

Dengan izin Allah, perempuan tua tersebut boleh melihat semula dan sembuh dari kebutaannya.

💛💜 Kedua
💚
Uzair mampu menghafal seluruh isi kandungan Kitab Taurat tanpa terdapat sedikitpun kesalahan.

Sungguhpun Kitab Taurat itu diturunkan kepada Nabi Musa, namun Nabi Musa tidak memiliki kebolehan menghafal kitab Taurat sebagai mana Uzair.

💛💜 Ketiga
💚
Uzair dianggap manusia yang luar biasa melebihi daripada darjat seorang nabi.

Ini adalah kerana Bagindalah satu satunya manusia yang dihidupkan semula selepas 100 tahun Allah wafatkannya.

Maka sebab itulah Orang Yahudi lebih mengagungkan Uzair dari nabi nabi Bani Israil yang lain dan menyifatkannya sebagai anak Allah.

PENAFIAN ALQURAN ALLAH MEMPUNYAI ANAK

 💖 Firman Allah 

مَا كَانَ لِلَّـهِ أَن يَتَّخِذَ مِن وَلَدٍ ۚ﴿٣٥﴾ مریم

Maksudnya
Tidak selayaknya bagi Allah mempunyai anak.
Surah Maryam ayat 35

 💖 Firman Allah 

بَدِيعُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ ۖ أَنَّىٰ يَكُونُ لَهُ وَلَدٌ وَلَمْ تَكُن لَّهُ صَاحِبَةٌ ٌ﴿١٠١﴾ الانعام

Maksudnya
Yang menciptakan langit dan bumi. Bagaimanakah Ia boleh mempunyai anak sedang Ia tidak mempunyai isteri.
Surah al Anam ayat 101

Jika Allah mahukan anak, sudah tentulah Ia akan memilih mana-mana yang Ia kehendaki dari makhluk-makhluk ciptaanNya.

 💖 Firman Allah 

لَّوْ أَرَادَ اللَّـهُ أَن يَتَّخِذَ وَلَدًا لَّاصْطَفَىٰ مِمَّا يَخْلُقُ مَا يَشَاءُ ﴿٤﴾ الزمر

Maksudnya
Jika Allah hendak mempunyai anak, tentulah Ia memilih mana-mana yang dikehendakiNya dari makhluk-makhluk yang diciptakanNya.
Surah az Zumar ayat 4

Maka fikir fikirkanlah
 والله اعلم

💙💚💛💜💖💖💖💜💛💚💙
RUJUKAN

1. Siapakah Uzair yang dijuluki Anak Allah
Jejak Uzair